I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, April 1, 2010

Suatu "Petunjuk"

Malam itu aku tidur lewat tidak seperti malam-malam sebelumnya. Entah mengapa mataku masih belum terasa mengantuk. Nasib baik rancangan di televisyen ditayangkan 24 jam. Bgus atau tidak rancangannya bukan persoalan. Yang penting, aku memang tidak dapat melelapkan mata. Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 2.30 pagi. Kawan-kawan serumah yang lain semuanya sudah masuk tidur.


"Cerita apa ni? Tengok sajalah.” bisikku sendirian.


Langit nampak cerah dengan cahaya bulan yang mengambang disertakan kerlipan bMurnig-bMurnig menampakkan lagi suasana malam yang terang. Dapat aku lihat keindahan suasana malam dari balik jendela yang ditutupi langsir kain satin yang nipis dan berenda-renda. Mengapa mata aku sukar hendak kupejamkan.Tatkala aku baring-baring di sofa empuk ini pun mata aku masih luas terbuka. Tiba-tiba aku terasa sejuk walaupun cuaca malam agak panas dan cerah.


"Aku tak buka aircond. Kenapa sejuk pula?" aku sendirian.


Aku langsung tidak memikirkan sesuatu yang menakutkan. Malah fikiran aku ketika ini hanya terasa kosong. Aku merasakan seolah-olah berada diawang-awangan sedangkan mataku masih tertumpu ke arah televisyen.


"Murni, tak tidur lagi ke?" suatu suara menerjahku dari arah belakang.


"Belumlah. Aku tak mengantuk lagi. Mata pun susah sangat nak terlelap," balasku tanpa menoleh ke belakang. Namun, sesuatu yang aku perasan, aku tidak mendengar bunyi kuakan pintu langsung. Sebaik menyedarinya, aku terus menoleh kebelakang .Rasa-rasanya memang aku tidak mendengar pun bunyi pintu bilik dibuka oleh rakan-rakanku Linda dan Bella. Pintu bilik masih tertutup rapat.


"Ah, biarlah. Agaknya si Bella tu keluar senyap-senyap. Aku tak dengar agaknya." bisikku lagi.


Mataku masih tertancap pada kaca televisyen. Keasyikan aku menonton sambil mengunyah makanan ringan membuatkan aku tidak mempedulikan apa yang berlaku disekelilingku. Aku terus leka dalam duniaku. Semakin lama semakin terasa sejuk ruang tamu ini. Aku hairan. Tiba-tiba pintu rumah sewa ini diketuk seseorang dengan perlahan. Jelas kedengarannya. Mungkin kerana kesunyian malam membuatkan aku dapat mendengarnya dengan amat jelas. Aku bingkas bangun dan tanpa berfikir panjang terus membukanya. Berdiri seorang gadis dalam usia belasan tahun.


"Kak…tolong saya kak..saya sesat." pinta gadis itu merayu.


"Adik ini siapa? Kenapa malam-malam begini tak balik rumah?" soalku .


"Nama saya Zilaikha. Dompet saya hilang. Saya baru sampai dari kampung.Tak tahu nak pergi mana. Mahu ke rumah makcik pun tak tahu alamatnya."cerita gadis itu dengan wajah yang sedih.

"Masuklah dulu dik, " ajakku tanpa berfikir panjang.


Aku hairan gadis ini basah kuyup sedangkan diluar tidak hujan.Aku ambil tuala lalu kuberikan padanya. Sebaik dia membersihkan dan mengeringkan dirinya yang basah kuyup, aku terus memberikannya secawan kopi hangat. Mungkin dia kesejukan. Wajahnya pun seakan-akan pucat tidak bermaya.

"Adik dari mana.?” tanyaku ingin tahu.


"Saya dari Kedah kak. Datang KL nak cari kerja. Makcik yang tolong saya carikan kerja. Dia cakap saya boleh mula kerja esok. Sebab itu petang tadi saya bertolak dari Kedah. Sampai sini sudah lewat. Dompet saya pula hilang, Jadi, saya tak dapat cari alamat rumah makcik saya." ceritanya panjang.


Aku terkedu mendengar ceritanya. Terselit rasa kasihan. Sudahlah lewat sampai ke KL, duit pula hilang.

"Boleh saya tumpang malam ini di sini? Saya tak tahu nak pergi mana," rayunya.

"Boleh. Apa salahnya. Nanti kakak ambilkan bantal dan selimut,." balasku terus membenarkan.

"Ambil baju panas ni. Takut nanti sejuk bila tidur," kuhulurkan sehelai baju sejuk.

"Eh, tak mengapa kak...Saya terasa panas ni." Jawab budak itu.


"Kau tak rasa sejuk? Akak sejuk sangat,," diaku. Aku hairan kerana semakin larut malam mengamit,semakin sejuk aku rasakan.

"Adik tidur dulu, Esok akak cuba tolong adik carikan rumah mak cik adik. Adik tentu tahukan dia tinggal di mana?" sambungku lagi.


Dia hanya mengangguk lalu melemparkan senyuman.


Gadis itu terus membaringkan dirinya di sofa panjang. Terus dia terlena. Jam sudah menunjukkan pukul 3 pagi, Aku juga mulai terasa mengantuk. Gadis itu sudah lena dibuai mimpi. Kulihat wajahnya begitu pucat sekali. Mungkin dia demam. Aku cuba merasa suhu badannya.


"Eh...sejuknya badan budak ni," bisikku di dalam hati.


Aku cuba membezakan suhu badanku dengan dia. Memamg ketara perbezaannya. Aku berniat mengejutkannya untuk memberikan dia ubat. Fikirku mungkin dia deman, Tetapi hati aku tidak langsung ingin melakukannya. Berat sekali membuka mulut untuk bersuara. Terasa bagai dikunci. Akhirnya aku terlena.

"Murni...Murni...bangun dah subuh ni."


Aku terus terbangun sebaik terasa badanku digerakkan seseorang. Aku gosok-gosok mata yang masih kabur.


"Apalah kau ni Murni. Tidur tak tutup tv. Apa yang basah ni. Kau kencing ke Murni.?" leter Linda. Aku masih terpinga-pinga.


"Murni, aku cakap dengan kaulah. Itulah. Siapa suruh tidur lewat." leter Linda lagi.


"Aku dengarlah ni. Eh, gadis tu...dia dah bangun ke belum?." mataku melilau-lilau mencari gadis yang datang semalam.


"Gadis mana pulak ni. Kau mrngigau ke. Tengok ni. Basah karpet. Apa kau buat semalam. Minum air pun elok-eloklah. Ini tidak, sampai tertumpah," ngomel Linda lagi.


Aku terus bingung. Gadis semalam pun tidak kelihatan. Dia sudah keluar, tapi bagaimana dia buka pintu pagar rumah ni . Kunci aku yang pegang. Aku pula yang tidur di sofa ini.


"Betul, semalam ada seorang budak belasan tahun nak tumpang tidur di sini. Dia sesat. Sebab tu karpet ni basah. Dia basah kuyup," ceritaku semakin bingung.


"Kau ni Murni. Mimpi ke khayal." usik Bella pula.


"Betullah, wajah dia pun aku masih ingat," berkerut-kerut dahiku mempertahankan diri.


"Kau ni Murni…sudahlah. Pergi mandi. Subuh pun dah nak habis. Cepat sikit." suruh Linda.

Kebingunganku semakin menjadi-jadi. Aku benar-benar hairan. Aku sudah cakap akan tolong dia carikan rumah mak ciknya.Pening kepala memikirkannya. Malas berfikir panjang terusku kemas dan lipat selimut yang masih tidak berlipat. Sebaik aku angdi selimut itu, terjatuh sesuatu betul-betul diatas kakiku.


"Eh, rantai. Tapi, siapa punya pula ni? Ni bukan rantai aku," ujarku sambil membelek-belek rantai perak yang mempunyai loket berbentuk hati.


Aku membuka loket tersebut. Alangkah terkejut hatiku melihat gambar di dalam loket itu.


"Ini Zulaikha. Sah rantai ini dia punya. Jadi aku tidak bermimpi!" jeritku.


Linda dan Bella yang sedang bersiap terus meluru ke arah aku sebaik terdengar aku menjerit.


“Apa kena dengan kau ni Murni? terjerit –jerit macam orang kena histeria," tegur Bella yang masih terkejut.


"Tengok rantai ni. ini milik budak semalam yang tumpang tidur di sini. Aku ingat lagi rupa dia. Namanya Zulaikha. Kau orang cakap aku bermimpikan? ini buktinya, " terangku gembira.


“Yalah. Tapi ingat Murni, jangan benarkan orang yang kita tak kenal masuk malam-malam. Kalau yang datang tu nak rompak kita, susah kita nanti," syarah Linda pula.


Aku terus menyimpan rantai milik gadis itu. Fikirku tentu dia akan datang untuk mengambilnya nanti. Aku tidak mengesyaki gadis itu berniat jahat kerana barang-barang dalam rumah aku pun tiada yang terusik. Mungkin dia tergesa-gesa keluar dan mungkin pintu besi rumah, aku lupa menguncinya semalam, Sebab tu dia boleh keluar.


Aku ke tempat kerja seperti biasa dan fikiran aku masih memikirkan tentang gadis semalam.


Malam ini aku benar-benar teringin hendak menonton berita. Sebelum ini aku tidak pernah mengendahkan cerita-cerita yang dihebahkan.


"Seorang gadis telah didapati hilang dari rumahnya semalam. Ibu gadis itu iaitu Ruminah yang membuat laporan di bilik berita telah memberitahu bahawa, anaknya Zulaikha Ismail hilang sejak pagi 2 hari lalu setelah dia keluar dari rumah untuk menemui seorang kawan. Sesiapa yang pernah menemui gadis tersebut sila hubungi keluarganya melalui nombor yang tertera." Berita yang disampaikan oleh pemberita itu mengejutkan aku seketika .Sebaik gambar wajah gadis itu disiarkan, fikiranku bertambah kusut.


"Itu gambar gadis yang datang ke sini semalam. Yalah, .sama dalam gambar diloket ini. Namanyapun sama." Bisikku di dalam hati. Aku keluarkan loket yang tersimpan di dalam beg pejabatku. Aku bertekad untuk menghubungi keluarganya esok dan dengan segera aku catit nombor telefon yang aku hafal tadi.


Malam ini aku masih tidak dapat melelapkan mata sebaik mengingati berita yang melaporkan tentang gadis itu. Fikiranku masih diawang-awangan. Kosong! Langsung aku tidak dapat mencari jawapannya. Bagaimana gadis itu boleh menumpang di rumah aku semalam. Dalam pada aku ingin mencari jawapan aku terus terlelap.


"Kak, rumah makcik saya di jalan Kemboja dedi Ampang. Tolong saya carikan rumah dia kak...tolong kak.."


Aku terus terjaga sebaik mendengar suara gadis itu .Rasa-rasanya aku baru saja melelapkan mata. Aku pandang ke arah jam di sisi baru pukul 11.45. Seingat aku sebelum aku tertidur jam menunjukkan pukul 11.30. Aku semakin bingung. Bagaimana aku boleh mimpikan gadis itu. Rantainya masih aku genggam erat.


"Jalan Kemboja..Ampang..."bisikku.


Keesokkan harinya kau mengajak Linda dan Bella ke jalan yang disebut oleh gadis itu .Nasib baik hari ini hari minggu . Kami semua bercuti. Sebaik kereta yang dipandu Linda memasuki kawasan yang aku diakan tadi, aku benar-benar terkejut kerana kawasan ini adalah kawasan perumahan yang terbengkalai. Bagaimana Zulaikha boleh berikan nama jalan ini sedangkan jalan ini tidak dipenghuni oleh sesiapa.


"Mana ada rumah di sini Murni. Kau gila ke apa?." rungut Linda.


"Betullah nama jalan ini. Zulaikha tu yang beritahu aku.”balasku.


"Kaukan hanya mimpi. Mimpikan tak betul. Karutlah kau ni Murni,” dengus Bella pula marah.


Aku serba salah. Linda dan Bella tidak mempercayai aku. Selepas ini aku merasa perlu mengambil tindakan sendiri. Melakukannya secara sendirian dan senyap-senyap. Memang aku merasakan aku hampir gila memikirkan tentang gadis itu. Tidur aku terganggu seklai lagi malam itu.


"Kak, tolong saya kak. Saya sesat di jalan Kemboja. Saya nak balik," suara gadis itu sayup-sayup kedengaran.


Aku tersentap dan terus terjaga. Aku terlihat bayangan putih melintas di depan mata. Aku terpaku dan seluruh anggota aku terasa kaku. Mulutku seakan-akan terkunci. Linda dan Bella yang tidur disebelah tidak langsung terjaga walaupun aku memanggil nama mereka dengan kuat sekali. Lambaiannya bertalu-talu dan akhirnya hilang dalam kegelapan malam. Aku mengeletar dan peluh membasahi seluruh tubuhku.


Esoknya aku membuat keputusan untuk menghubungi keluarga gadis itu melalui nombor yang aku catitkan semalam. Kami mengatur pertemuan. Rupa-rupanya gadis ini seorang anak orang yang berkemampuan.


"Ini rantainya puan,” aku menyerahkan rantai itu sebaik bertemu dengan ibunya.


"Benar, ini memang rantai Ika." ujar ibunya sebaik menerima rantai itu.


"Mana awak dapat rantai ini?" soal ayahnya pula.


"Beberapa hari lepas anak puan dan tuan datang rumah saya lebih kurang pukul 2.30 pagi dalam keadaan yang basah kuyup. Dia cakap dia sesat dan minta tumpang tidur. Saya izinkan dia masuk dan dia tertidur di sofa rumah sewa saya. Pagi tu saya bangun dia dah keluar. Saya terjumpa rantai ini saja. Lepas tu saya terdengar berita tentang kehilangan dia." ceritaku.


"Tetapi..."sambungku terhenti.

"Apa dia nak..."


"Saya bermimpi bertemu dengannya dan dia cakap rumah makcik dia di Jalan Kemboja,Ampang. Bila saya pergi sana dengan rakan-rakan, saya terkejut sebab itu kawasan perumahan yang terbengkalai," sambungku.


"Terima kasih nak. Jom Ima. Kita pergi balai polis sekarang," gesa ayah gadis itu dan menarik tangan isterinya.


Aku pula yang terpinga-pinga melihat mereka pergi dengan begitu tergesa-gesa. Fikiran aku sentiasa teringatkan gadis itu. Sepanjang malam aku memikirkan tentangnya.


"Kak, terima kasih kak. Saya dah jumpa makcik saya. Terima kasih kak." Kali ini suara itu jelas aku dengar. Aku masih berjaga dan serentak itu lambaian seseorang melambai ke arahku dari luar jendela bilik tidur. Aku terus membuka tingkap dan hembusan angin begitu kuat sebaik tingkap kubuka. Sehinggakan langsir mengerbang dengan tinggi sekali. Semakin jauh jugalah lembaga itu dari pandangan mataku. Malam ini aku tidur dengan nyenyak.Tiada lagi mimpi dan tiada gangguan suara lagi.


Pagi esoknya sewaktu aku dan Linda sedang bersarapan, Bella menunjukkan surat khabar yang dibacanya kepada aku .Aku tersentak. Hampir-hampir air yang aku minum tersembur keluar.


"Seorang gadis yang dilaporkankan hilang iaitu Zuliakha Ismail telah ditemui mati beberapa hari disebuah rumah kosong di jalan Kemboja, Ampang. Mayatnya ditemui semalam oleh pihak polis sebaik diberitahu oleh keluarganya yang mendapat maklumat daripada seseorang yang telah menemui mangsa pada malam dia dipercayai hilang. Kes ini dikaitkan sebagai kes rogol dan bunuh." satu persatu ayat aku baca. Gambar gadis itu juga terpampang di dada akhbar.


Air mata mulai bergenang dikelopak mataku. Titisan jernih mengalir deras membasahi pipiku.

"Tak sangka dia datang memberikan aku petunjuk dimanakah mayatnya. Kasihan dia. Masih muda tetapi mati dalam keadaan yang ngeri begini. Zulaikha semoga rohmu dirahmati-Nya dan ditempatkan di samping orang-orang yang solehah. Akak harap sesiapa yang melakukan perkara terkutuk ini akan mendapat balasn yang setimpal samada didunia atau akhirat," luahku sebak.

No comments:

Post a Comment