NEGERI Sembilan muncul juara Piala FA 2010 selepas menewaskan Kedah 5-4 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Begitupun, kemenangan tersebut diraih menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedudukan terikat 1-1 sehingga tamat perlawanan masa tambahan.
Penjaga gol Negeri Sembilan, Sani Anuar Kamsani tampil sebagai wira apabila berjaya menyelamatkan sepakan terakhir pemain Kedah, Mohd. Sabre Mat Abu untuk membolehkan pasukannya menjuarai Piala FA buat kali kedua selepas kali terakhir melakukannya pada tahun 2003.
Ternyata semangat tidak berputus asa yang dipamerkan pemain-pemain Negeri Sembilan sepanjang perlawanan tersebut berbaloi walaupun pada suatu ketika ketinggalan 0-1 namun berjaya bangkit untuk menyamakan kedudukan.
Dengan kombinasi pemain berpengalaman dan pemain muda, skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu mudah menyerap segala tekanan untuk mengekang serangan yang dilakukan oleh Kedah.
Bagaimanapun, Kedah yang dibarisi rata-rata pemain muda membuka tirai jaringan menerusi Badrol Bakhtiar yang melambung cantik bola hasil gerakan satu dua dengan Mohd. Fadly Baharum sekali gus menewaskan penjaga gawang Negeri Sembilan yang dikawal oleh Sani Anuar pada minit ke-27.
Negeri Sembilan yang tersentak dengan gol pendahuluan Kedah kembali memperkemaskan jentera serangan mereka dan gerakan solo Mohd. Shaffik Rahman berjaya menghadiahkan gol penyamaan buat pasukannya pada minit ke-39 untuk mengikat keputusan seri 1-1 sehingga tamat babak pertama.
Ketumpulan bahagian serangan Negeri Sembilan yang diterajui Mohd. Zaquan Adha Abdul Radzak agak ketara dan beberapa peluang untuk menambah jaringan dipersia-siakan.
Sebaik babak kedua bersambung, kedua-dua pasukan tampil lebih agresif tetapi tetap gagal untuk menggegar gawang.
Kedudukan seri 1-1 kekal sehingga memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.
Begitupun, aksi pada masa tambahan ternyata penuh mendebarkan dengan percubaan-percubaan berbahaya yang dilakukan oleh kedua-dua pasukan.
Namun, kekentalan barisan pertahanan baik Negeri Sembilan mahupun Kedah berjaya mengekang segala asakan dan menyaksikan jentera serangan kedua-dua pasukan masih gagal untuk memperoleh gol kemenangan.
Pada penentuan sepakan penalti, Negeri Sembilan lebih bernasib baik kerana berjaya menyempurnakannya sebaik mungkin sekali gus tampil sebagai juara Piala FA edisi ke-21 ini.
Oleh HELMI TALKAH
sukan@kosmo.com.my
tahniah Negeri Sembilan, main bola tu jangan sampai cedera! Kecederaan/Kematian di Padang Bola Sepak
ReplyDelete