I made this widget at MyFlashFetish.com.

Tuesday, July 27, 2010

Guru boleh aktif politik


Oleh Haspaizi Mohd Zain

2010/07/28

CUEPACS mahu semua pegawai dapat peluang sama

KUALA LUMPUR: Selepas 17 tahun dilarang aktif dalam politik, pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah Gred DG41 hingga DG48 dibenarkan semula bertanding, dilantik atau memegang sebarang jawatan dalam parti politik, berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Keputusan itu yang diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, semalam, membabitkan 140,000 guru. Bagaimanapun, CUEPACS berharap kebenaran itu turut diperluaskan kepada semua 350,000 pegawai Gred DG41 hingga DG48 dan tidak terhad untuk guru saja.

Presidennya, Omar Osman, berkata semua pegawai awam harus diberi peluang sama selari dengan hasrat kerajaan yang mahu kakitangannya turun padang dan mendekati rakyat.

Mereka juga tidak kurang hebatnya, termasuk mempunyai kelulusan tinggi dalam bidang sains politik, katanya mengulas keputusan kerajaan meminda Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 bagi membolehkan pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah Gred DG41 hingga DG48 aktif semula dalam politik.

Pindaan itu sudah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan tindakan sedang diambil untuk mewartakannya.
Ketika ini, hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.

Mohd Sidek dalam kenyataannya menjelaskan sudah tiba masa guru dibenarkan aktif semula dalam politik kerana golongan itu suatu masa dulu memainkan peranan penting dalam memimpin masyarakat, terutama dalam senario politik negara.

Sambil menyifatkan keputusan itu sebagai satu langkah pembaharuan dalam perkhidmatan awam, beliau bagaimanapun menegaskan kebenaran berkenaan diberi dengan syarat ketat agar tugas dan fokus utama guru mendidik anak-anak tidak terjejas dengan pembabitan dalam politik.

Beliau berkata, mereka hanya dibenarkan bergiat aktif dalam politik selepas mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran tidak boleh mewakilkan kuasanya untuk memberi kelulusan bertulis itu kepada mana-mana orang lain dan keputusan beliau adalah muktamad, katanya.

Mohd Sidek juga mengingatkan mereka supaya mematuhi syarat berkaitan dengan batasan tugas sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan dengan aktiviti dalam politik.

Syarat mengenai perkara ini sedang disediakan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pelajaran, katanya.

Sumber : Berita Harian

No comments:

Post a Comment