Buat pengetahuan semua yang sudi membaca blog ini, saya dan beberapa orang sahabat MPP UPSI telah membuat program Baktisiswa di Negara Kemboja di mana sasarannya adalah di kampung majoriti penduduknya adalah yang beragama Islam. Program yang dijalankan ini berlangsung selama 5 hari iaitu bermula pada 7 hingga 12 Jun 2010. Fokus program ini adalah untuk membantu umat Islam di Kemboja yang masih tiada tempat di negara sendiri. Selain itu, program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada bakal-bakal guru untuk berbakti serta mendidik masyarakat ke arah kehidupan yang lebih baik.
Lima hari di kemboja sungguh menyentuh hati. Jika kita di Malaysia hidup yakin dengan pemerintah yang juga orang Islam atau yakin dengan keadaan kemudahan pendidikan serta infrastruktur yang menjanjikan segala kesenangan tetapi tidak bagi umat Islam di Kemboja. Pemerintah Kemboja tidak menekan umat Islam tetapi umat Islam perlu hidup di atas kaki sendiri tanpa bantuan. Umat Islam di Kemboja hanya yakin kepada Allah swt dan ini menjadikan mereka kuat dan tabah melalui kehidupan yang sungguh mencabar. Majoriti penduduk pendalaman Islam di Kemboja ketinggalan kira-kira 30-40 tahun daripada kita.
Bersyukur sungguh kerana Allah telah memilih saya untuk menziarahi saudara Islam di Kemboja yang sangat memerlukan bantuan daripada saudara Islam dari seluruh dunia. Semoga ziarah ini akan memberi motivasi kepada saya serta sahabat-sahabat yang lain untuk meneruskan perjuangan Hidup Untuk Memberi. Sepanjang 5 hari berada di kemboja hati aku amat tersentuh dengan kehidupan umat Islam di sana yang rata-ratanya tergolong dalam fakir miskin yang wajib dibantu. Keadaan mereka sangat dahsyat dengan tidak ada kemudahan elektrik, rumah yang hanya diperbuat daripada atap nipah serta sistem kehidupan mereka yang masih lagi tidak terurus. Anak-anak kecil yang sepatutnya menuntut ilmu di sekolah hanya tinggal harapan sahaja kerana tidak mempunyai wang malah untuk sesuap nasi pun susah.
Ketika berada di sana, saya sempat bertanyakan pasal kegiatan ekonomi yang dilakukan oleh penduduk di tempat kami tinggal. Menurut seorang penduduk kampung yang boleh bercakap bahasa Melayu, kebanyakan mereka hanya mengusahakan tanaman padi sahaja itupun jika hujan turun. Kerana mereka hanya bergantung semata-mata kepada air hujan untuk mengusahakan tanaman padi. Jika hujan tak turun maka tak buatlah. Menurutnya lagi, pada tahun ini mereka tidak boleh menanam padi kerana keadaan kemarau,tidak ada air. Mereka hanya menunggu rahmat daripada Allah untuk mengusahakan padi. Keadaan ini disebabkan oleh kemudahan yang tidak mencukupi. Begitu kehidupan mereka sehari-hari. Amat menyentuh perasaan. Sebagai penutupnya,saya mengajak diri saya dan semua yang berada di luar sana untuk sama-sama hulurkan tangan bagi meringankan beban Umat Islam di Kemboja dan di mana-mana yang memerlukan. Insyaallah, dengan sumbangan yang ikhlas ini akan memberi saham kepada kita di akhirat kelak.
assalamualaikum...
ReplyDeleteana nak share cerita(kata2) enta untuk projek yang ana akan lakukan
syukran....