I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sunday, February 20, 2011

AUKU akan Melahirkan Pemimpin yang Lesu dan Punah

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT yang masih lagi memberi nafas kehidupan dalam Iman dan Islam kepada saya. Sesungguhnya tidak ternilai nikmat Allah ini jika dibandingkan dengan amal yang dilakukan oleh diri yang kerdil ini. Namun, kesemua ini adalah kehendak-NYA untuk memberi hidayah kepada sesiapa yang Dia inginkan. Apapun, sama-sama kita ungkapkan lafazkn kesyukuran kepada Allah yang Maha ESA..

Setelah sekian lama tidak mencoretkan sesuatu di dalam blog ini, terasa terpanggil pada hari ini untuk berkongsi idea dan pandangan dengan semua sahabat di luar sana. Jika dilihat pada waktu ini, di setiap IPTA/IPTS sedang hangat dengan Pilihan Raya Kampus dalam pemilihan pemimpin di setiap kampus. Di UPSI juga tidak terkecuali yang mencetuskan pelbagai kontroversi terutamanya yang dimainkan oleh golongan yang tidak tahu akan halal haram dalam agama. Pelbagai tuduhan fitnah telah dilemparkan kepada calon yang dikatakan sebagai PRO-MAHASISWA. Semua tuduhan adalah disebabkan ada sesetengah pihak yang takut akan kebangkitan Mahasiswa terutamanya dalam memegang tampuk kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar. Namun, semua tuduhan ini merupakan perkara biasa yang terjadi dalam pemilihan MPP kampus mahupun dalam Pilihan Raya di luar kampus.

Walau apapun, amalan ini tidak seharusnya berlaku dalam kalangan Mahasiswa terutama di UPSI yang mengeluarkan produk bakal-bakal pendidik. Hal ini kerana, mahasiswa merupakan golongan yang cerdik pandai dan tahu akan perkara yang boleh dan perkara yang tidak boleh dilakukan. Sepatutnya, golongan yang membuat fitnah ini yang dikenakan AUKU oleh kerajaan bukannya kepada golongan yang aktif terlibat dalam politik di kampus. Kerana perbuatan fitnah ini merupakan perkara yang sangat ditegah dalam Islam malah boleh membawa kehancuran dalam sesebuah negara dan masyarakat. Oleh itu, AUKU yang ada sekarang ini sepatutnya menghukum pelajar yang membuat khianat bukan menghukum pelajar yang berpotensi untuk meneraju tampuk pemerintahan negara. Laungan modal insan yang diwar-warkan oleh kerajaan bermalamatkan apa sebenarnya? Jika tidak ingin melahirkan generasi yang boleh mentadbir negara pada masa hadapan. Jika AUKU ini terus-menerus mencekik minda pelajar untuk bersuara pasti pemimpin negara akan datang akan lebih teruk daripada yang ada sekarang.

Oleh yang demikian, apa yang dilihat sekarang Mahasiswa merupakan tonggak generasi negara. Jika kerajaan tidak meminda AUKU maka kebangkitan Mahasiswa pasti akan berlaku untuk menggulingkan kerajaan yang ada sekarang. Oleh itu, pada pandangan saya jalan terbaik bagi mengelakkan kejadian ini berlaku ialah Bebaskan Mahasiswa daripada cengkaman AUKU.

Friday, September 24, 2010

Minggu Getir Buatku

Assalamualaikum...




Alhamdulillah, itulah ucapan yang mampu kulafazkan tatkala hati ini dalam keresahan memikirkan posisi sebagai mahasiswa di tahun akhir. Tidak kusangka begitu pantas masa berlalu sehinggakan sekarang ku telah berada di semester 7 di mana inilah saat getir yang harus ditempuhi oleh setiap mereka yang bergelar pelajar semester 7. Diri ini merasakan baru semalam berdaftar di UPSI, namun itu hannya perasaan semata-mata kerna pada hakikatnya aku sekarang sudah berada di sem akhir di UPSI.

Namun, syukur kepada Allah SWT kerana masih lagi memberi ruang dan peluang kepada saya untuk terus istiqamah dengan Islam serta bersemangat dalam menuntut ilmu. Walaupun dibebani dengan beberapa tanggungjawab yang harus dipikul, namun dengan izin Allah SWT aku cuba jugak untuk terus menelan segala cabaran yang mendatang. Pada mereka yang pernah melalui sem ini pasti tahu apa yang perlu dibuat. Aku juga sedang mengalaminya sekarang. 'TESIS' itulah tugasan yang perlu disiapkan dalam tempoh satu semester.

Namun, lain pula yang berlaku kepada diri ini tatkala tugasan yang sepatutnya kena hantar pada minggu 13 atau 14 terpaksa hantar pada minggu 12 kerna pensyarah yang menilai hasil tesisku akan berangkat ke tanah suci Makkah pada pertengahan bulan oktober ini. Jadi, terpaksalah pulun tenaga nk siapkan tugasan tu. Erm, entahlah sempat siap ke tak ni. Pepun, aku masih ingt tika di bangku sekolah dahulu, guru selalu berpesan bahawa "usaha itu tangga kejayaan".Akanku berusaha sedaya mungkin untuk siapkan tugasan ini di samping tawakkal kepada yang Maha Esa.

Di kesempatan ini, ku ingin ucapkan selamat hari raya buat teman-teman walaupun kini sudah 14 syawal. Aku menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf jika ada salah dan silap. Halalkan makan dan minum selama ini. Moga kita semua akan terus istiqamah dalam menuntut ilmu di dunia ini. Jangan kita berasa jemu, kerana yakinlah Allah akan mengangkat darjat orang yang berilmu kepada beberapa darjat.

Wednesday, August 4, 2010

Makluman Perubahan Tarikh Majlis Konvokesyen Kali Ke-12 Sidang Kedua

Majlis Istiadat Konvokesyen kali Ke-12 sidang kedua akan diadakan pada 13 hingga 17 Oktober 2010. Tarikh ini telah berubah daripada yang dimaklumkan sebelum ini iaitu pada 12-16 oktober 2010. Walau bagaimanapun, diharap semua graduan yang akan bergraduat peka dengan sebarang maklumat berkaitan istiadat konvokesyen ini.

Sesi pengurniaan Ijazah adalah seperti mana di bawah :


  • 13/10/2010 (Rabu)
    • Sesi 1: Pagi
      • Ijazah Lanjutan
      • Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Ekonomi) dengan Kepujian
      • Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik) dengan Pendidikan
    • Sesi 2 : Petang
      • Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kesusasteraan Melayu) dengan Kepujian
      • Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Melayu) dengan Kepujian
      • Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua) dengan Kepujian
      • Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kemahiran Hidup) dengan Kepujian
  • 14/10/2010 (Khamis)
    • Sesi 3 Pagi
      • Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) dengan Kepujian
      • Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Khas) dengan Kepujian
      • Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Awal Kanak-Kanak) dengan Kepujian
      • Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengurusan Pendidikan) dengan Kepujian
    • Sesi 4 Petang
      • Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sejarah) dengan Kepujian
      • Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Geografi) dengan Kepujian
      • Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Moral) dengan Kepujian
      • Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sekolah Rendah) dengan Kepujian
      • Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Teknologi Maklumat) dengan Kepujian
  • 15/10/2010 (Jumaat)
    • Sesi 5 Pagi
      • Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Seni) dengan Kepujian
      • Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Seni Komunikasi Visual) dengan Kepujian
      • Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Multimedia) dengan Kepujian
      • Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Teknologi Reka Bentuk Berkomputer) dengan Kepujian
      • Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sains Sukan) dengan Kepujian
      • Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Psikologi Sukan) dengan Kepujian
      • Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sains Kejurulatihan) dengan Kepujian
    • Sesi 6 Petang
      • Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Matematik) dengan Kepujian
  • 16/10/2010 (Sabtu)
    • Sesi 7 Pagi
      • Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sains) dengan Kepujian
    • Sesi 8 Petang
      • Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sains) dengan Kepujian
      • Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Muzik) dengan Kepujian
      • Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Perakaunan) dengan Kepujian
      • Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengurusan Perniagaan) dengan Kepujian
      • Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Keusahawanan dan Perdagangan) dengan Kepujian
  • 17/10/2010 (Ahad)
    • Sesi 9 Pagi
      • Diploma Pendidikan (Sejarah)
      • Diploma Pendidikan (Geografi)
      • Diploma Pendidikan (Pendidikan Islam)
      • Diploma Pendidikan (Pendidikan Moral)
      • Diploma Pendidikan (Pengajian Am)
      • Diploma Pendidikan (Sivik dan Kewarganegaraan)
      • Diploma Pendidikan (Geografi)
    • Sesi 10 Petang
      • Diploma Pendidikan (TESL)
      • Diploma Pendidikan (Bahasa Cina)
      • Diploma Pendidikan (Kesusasteraan Cina)
      • Diploma Pendidikan (Bahasa Arab)
      • Diploma Pendidikan (Muzik)
      • Diploma Pendidikan (Perdagangan/Perniagaan)
      • Diploma Pendidikan (Perakaunan)
      • Diploma Pendidikan (Kaunseling)

Dikeluarkan oleh Bahagian Akademik UPSI. Sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Sekolah Hamil - Wajarankah Ditubuhkan?

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.



Saya teruja dengan cadangan kerajaan negeri Melaka untuk menubuhkan sekolah hamil untuk pelajar mengandung, sama ada mengandung hasil perkahwinan yang sah atau luar nikah beberapa hari lepas.

Kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, cadangan penubuhan sekolah itu akan dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran untuk pertimbangan.

Tujuan penubuhan sekolah tersebut adalah untuk menempatkan remaja yang mengandung untuk meneruskan persekolahan mereka daripada berhenti dan seterusnya tercicir dalam pelajaran.

Selain itu, apa yang lebih penting kata Menteri itu berhubung cadangan penubuhan sekolah itu adalah untuk menyelesaikan masalah remaja berzina dan membuang bayi.

Cadangan yang baik!!!

Saya bukanlah seorang pengkritik. Tak pandai pun untuk mengkritik cadangan orang lain. Tetapi atas dasar persaudaraan dan keprihatinan sebagai hamba Allah yang menumpang di muka bumi ini, maka terdetik di hati untuk melontarkan sepatah kata sebagai bicara sebagai ingatan diriku sendiri, dirimu dan kita semua. Mudah-mudahan kita semua mendapat manfaat dan sama-sama berfikir adakah perlu sekolah hamil tersebut ditubuhkan ataupun sebaliknya.

Niat dan cadangan Ketua Menteri Melaka itu sangat baik. Tetapi tiada cara lainkah yang lebih berkesan untuk mengatasi masalah remaja mengandung tercicir dalam pelajaran selain menubuhkan sekolah sepertimana yang dirancang.

Apa yang merisaukan adalah dengan penubuhan sekolah hamil tersebut, bukan semakin berkurangan remaja mengandung tetapi semakin bertambah-tambah pula. Jika diteliti, cadangan ini sekadar untuk dilaksanakan di negeri Melaka sahaja. Namun, pada hari ini keluar pula kenyataan Ketua Puteri UMNO supaya sekolah hamil ini dilaksanakan di peringkat kebangsaan pula.

Kenyataan Ketua Puteri UMNO :

Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata konsep sekolah khas untuk pelajar hamil yang dicadangkan oleh kerajaan Melaka harus dipertimbangkan untuk dilaksanakan di peringkat kebangsaan.

Beliau berkata, remaja seperti ini seharusnya diberi peluang kedua supaya negara tidak kehilangan generasi yang berpotensi untuk menjadi berguna dan menyumbang kepada pembangunan negara.

"Kita harus terbuka kepada hal ini, ada berlaku gejala sosial seperti ini dan salah satu usaha kita dalam memberi ruang kepada mereka, ialah mewujudkan institusi yang tersendiri supaya mereka boleh meneruskan pembelajaran.

"Mereka ini masih boleh kita didik dan berikan pendedahan supaya mereka menjadi satu golongan yang boleh menyumbang kembali kepada negara. Kita seharusnya ambil cadangan Melaka ini dan diadaptasi di peringkat nasional supaya setiap negeri ada sekolah (sedemikian),”

Jika beginilah keadaannya, para pelajar akan berfikir, “em kalau berzina pun best jugak..Mengandung…Takpe doh…Sekarang dah ada sekolah hamil, kita dah ada tempat untuk belajar, dah tak rasa malu sangat sebab kat sana semua pelajar perutnya buncit berisi….Dulu kalau buat kerja tu kena berenti sekolah sebab malu atau kena buang oleh pihak sekolah….”

Lihatlah berapa banyak rumah-rumah perlindungan diwujudkan di negara ini bagi menempatkan remaja -remaja terlanjur dan seterusnya mengandung atau mak remaja mengandung, tetapi setiap hari ada saja bayi dibuang.

Setahu saya, di rumah-rumah perlindungan ini juga remaja-remaja tersebut diberi didikan agama, motivasi dan sebagainya supaya mereka berubah dan kembali ke jalan yang benar.

Nampaknya semakin banyak rumah-rumah perlindungan diwujudkan, tetapi semakin bertambah-tambah pula kes-kes remaja mengandung luar nikah dan pembuangan bayi. Apatah lagi menubuhkan sekolah khas untuk mereka!!!

Saya berpandangan bahawa buatlah apa-apa program sekalipun..Manusia hari ini sudah jauh dengan Allah, jauh dengan suruhan Allah. Malah syaitan pula menjadi sahabat karib mereka. Manusia mudah terpedaya dengan tipu helah syaitan. Lemah iman dan nafsu semakin membara.

Contohnya setiap hari dalam TV, radio dan media cetak lain melaungkan slogan “Kami Prihatin!!! Kami Prihatin!!! Kami Prihatin!!!

Nah!!!! Setiap hari ada jer bayi yang baru lahir dibuang di dalam tong sampah, di masjid, tandas dan sebagainya. Saya bukan nak pertikaikan keberkesanan program ini, tetapi itulah hakikat yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini.

Saya fikir, tiada cara lain yang sesuai untuk menyelesaikan masalah remaja mengandung luar nikah (zina) dan pembuangan bayi yang parah pada hari ini kecuali kembali kepada ajaran Allah yang sebenarnya. Maksud saya kembali kepada hukum Allah sepertimana termaktub di dalam kitab suci al-Quran dan hadith Rasulullah SAW. Pemimpin juga perlu menunjukkan contoh tauladan yang baik terlebih dahulu sebelum diserapkan kepada rakyat. Jangan kita gah dengan berkempen sana sini tapi diri sendiri tidak terurus. Pastikan Hukum-Hukum Islam dijelmakan dalam pemerintahan Negara Yang Dicintai ini.

Di bawah ini diterangkan secara ringkas tentang hukum hudud berkaitan dengan zina yang dipetik dari laman mufakirin.forumotion.net :

Mengikut peruntukan hukuman syarak yang disebutkan di dalam al-Quran dan al-Hadith yang dikuatkuasakan dalam undang-undang Qanun Jinayah Syar’iyyah bahawa orang yang melakukan perzinaan itu apabila sabit kesalahan di dalam mahkamah wajib dikenakan hukuman hudud, iaitu disebat sebanyak 100 kali sebat. Sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang bermaksud :

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari kedua-duanya 100 kali sebat, dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum Agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat, dan hendaklah disaksikan hukuman siksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman”. (Surah An- Nur ayat 2)


ZINA TERBAHAGI KEPADA DUA :
1. Zina Muhsan : Iaitu lelaki atau perempuan yang telah pernah melakukan persetubuhan yang halal (sudah pernah berkahwin)

2. Zina Bukan Muhsan : Iaitu lelaki atau perempuan yang belum pernah melakukan persetubuhan yang halal (belum pernah berkahwin).

Perzinaan yang boleh dituduh dan didakwa dibawah kesalahan Zina Muhsan ialah lelaki atau perempuan yang telah baligh, berakal, merdeka dan telah pernah berkahwin, iaitu telah merasai kenikmatan persetubuhan secara halal.

Penzinaan yang tidak cukup syarat-syarat yang disebutkan bagi perkara diatas tidak boleh dituduh dan didakwa dibawah kesalahan zina muhsan, tetapi mereka itu boleh dituduh dan didakwa dibawah kesalahan zina bukan muhsan mengikut syarat-syarat yang dikehendaki oleh hukum syarak.

HUKUMAN YANG DIKENAKAN KEATAS ORANG YANG ZINA MUHSAN DAN BUKAN MUHSAN
Seseorang yang melakukan zina Muhsan, sama ada lelaki atau perempuan wajib dikenakan keatas mereka hukuman had (rejam) iaitu dibaling dengan batu yang sederhana besarnya hingga mati. Sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitab I’anah Al- Thalibin juzuk 2 muka surat 146 yang bermaksud :

“Lelaki atau perempuan yang melakukan zina muhsan wajib dikenakan keatas mereka had (rejam), iaitu dibaling dengan batu yang sederhana besarnya sehingga mati”.
Seseorang yang melakukan zina bukan muhsan sama ada lelaki atau perempuan wajib dikenakan ke atas mereka hukuman sebat 100 kali sebat dan buang negeri selama setahun sebagaimana terdapat di dalam kitab Kifayatul Ahyar juzuk 2 muka surat 178 yang bermaksud :

“Lelaki atau perempuan yang melakukan zina bukan muhsin wajib dikenakan keatas mereka sebat 100 kali sebat dan buang negeri selama setahun”.


PEREMPUAN YANG DI ROGOL DAN DI PERKOSA

Perempuan-perempuan yang dirogol atau diperkosa oleh lelaki yang melakukan perzinaan dan telah disabit dengan bukti –bukti yang diperlukan oleh syarak dan tidak menimbulkan sebarang keraguan di pihak hakim bahawa perempuan itu dirogol dan diperkosa, maka dalam kes ini perempuan itu tidak boleh dijatuhkan dan dikenakan hukuman hudud,dan ia tidak berdosa dengan sebab perzinaan itu.
Lelaki yang merogol atau memperkosa perempuan melakukan perzinaan dan telah sabit kesalahannya dengan bukti – bukti dan keterangan yang dikehendaki oleh syarak tanpa sebarang keraguan di pihak hakim, maka hakim hendaklah menjatuhkan hukuman hudud keatas lelaki yang merogol perempuan itu, iaitu wajib dijatuhkan dan dikenakan ke atas lelaki itu hukuman rejam dan sebat.

Perempuan-perempuan yang telah disabitkan oleh hakim bahawa ia adalah dirogol dan diperkosa oleh lelaki melakukan perzinaan, maka hakim hendaklah membebaskan perempuan itu dari hukuman hudud (tidak boleh direjam dan disebat) dan Allah mengampunkan dosa perempuan itu di atas perzinaan secara paksa itu.

Akhir kata, saya ingin memohon ampun dan maaf seandainya bicara ini tidak menyenangkan hati banyak pihak. Mungkin apa yang tertulis di atas adalah bersifat negatif. Tetapi fikir-fikirkanlah apa yang terbaik dan mujarak untuk merawat barah yang semakin parah dan bernanah berhubung dengan remaja mengandung luar nikah dan pembuangan bayi dalam masyarakat kita hari ini. Adakah dengan penubuhan sekolah khas remaja mengandung dapat Justify Fullmenyelesaikan masalah ini? Tepuk dada tanya hati dan iman anda. Pasti ada jawapannya.

Tuesday, August 3, 2010

Berhemah Dalam Membuat Teguran

‘Hai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada pemangku kekuasaan di antaramu. Maka jika kamu berselisih dalam sesuatu (perkara), kembalilah ia kepada (kitab) Allah dan (sunah) Rasul, jika kamu benar-benar beriman terhadap Allah dan hari kemudian. Itulah yang lebih baik dan lebih bagus kesudahannya.”

Firman Allah dalam surah An-Nisa ayat 59 tersebut dengan jelas memperingatkan umat Islam supaya tidak membiarkan sesuatu pertelingkahan atau perbezaan pendapat itu mencetuskan perpecahan di antara mereka.

Sememangnya dalam kehidupan ini, perbezaan pendapat dan mempunyai pandangan yang berlainan adalah sesuatu perkara yang lumrah justeru apabila ia berlaku jangan sesekali ada di antara kita dengan mudah membuat kesimpulan yang menjurus kepada prasangka kononnya ia bertujuan memburukkan sesiapa.


Allah telah mengingatkan kita dalam surah Yunus ayat 36 dengan menegaskan, ‘‘Prasangka itu tidak mendatangkan kebenaran apa pun.” Oleh itu jika tercetus sesuatu isu antara kita dan terwujudnya perbezaan pendapat atau terbentuk sesuatu teguran ia seharusnya ditangani dengan sebijak-bijaknya.

Janganlah kita terlalu gopoh ke hadapan dengan membuat andaian yang bukan-bukan atau berhujah dengan penuh emosi sehingga terwujud cabar-mencabar.

Sebaliknya teguran atau sesuatu pandangan itu perlu diteliti dan dihalusi sertai dikaji kebenarannya. Ini kerana perbuatan menegur orang yang melakukan kesalahan merupakan tindakan yang amat diperintah oleh Allah.

Firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 125 bermaksud;

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik
dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik.”

Namun begitu sejak kebelakangan ini kita melihat semakin banyak pihak yang tidak boleh ditegur biarpun apa yang dinyatakan oleh seseorang itu mempunyai kebenarannya.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah mengingatkan bahawa sesuatu kebenaran itu perlu dinyatakan biarpun pahit dan baginda juga menegaskan,

‘‘Siapa sahaja di antara kalian yang melihat kemungkaran, maka tegurlah dengan tangannya (kekuasaannya). Jika tidak mampu, maka tegurlah dengan lisannya. Jika tidak mampu juga, maka tegurlah dengan hati. Namun, ini adalah keimanan paling lemah.”

Islam telah menggariskan dalam membuat teguran, kita haruslah berhati-hati apatah lagi jika kita cuba bertindak sebagai ‘orang perantaraan’ bagi menjelaskan sesuatu perkara.

Panduan

Tiga faktor yang digariskan oleh Islam boleh menjayakan sesuatu teguran itu ialah, pertama, tidak merendahkan ego orang yang ditegur, kedua mencari waktu yang tepat dan ketiga memahami kedudukan orang yang ditegur.

Hakikatnya, Islam memberi panduan yang jelas dalam kita memberi teguran dan bagaimana sikap kita apabila ditegur. Kita tidak harus melatah apatah lagi terlalu emosional sehingga menyebabkan kita melafazkan kata-kata yang tidak sepatutnya.

Semua itu tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya hanya akan mengeruhkan lagi keadaan, tidak kira sama ada kita pemimpin atau tidak tetapi apa yang kita perkatakan pasti akan dinilai oleh manusia dan diperhitungkan oleh Allah.

Kegagalan untuk mengawal perasaan kita berhujah akan menyebabkan berlaku tuduh-menuduh yang kesudahannya akan mencetus permusuhan antara kita.

Tindakan ini sudah tentulah bertentangan dengan firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 103 yang mengingatkan,

‘‘Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatkan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan hati kamu lalu jadikan kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang yang bersaudara, pada hal dahulunya kamu telah berada di jurang neraka, maka Dia menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu ayat-ayat agar kamu mendapat petunjuk.”

Hakikatnya, Islam tidak hanya mengajar etika menegur umat seagama tetapi Islam juga mengajar kita bagaimana cara menegur yang betul kepada umat daripada agama lain, tidak kita seburuk apa pun kesalahannya.

Ia terkandung dalam al-Quran melalui perintah Allah kepada Nabi Musa dan Nabi Harun untuk berkata lembut kepada Firaun seperti mana firman-Nya dalam surah Thaha ayat 44 yang bermaksud;

‘‘Berbicaralah kalian berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut,
mudah-mudahan ia ingat atau takut.”

Jika dengan Firaun pun Allah perintahkan para nabi bercakap dengan lemah lembut, apatah lagi kita sesama Islam. Ertinya Allah tidak suka jika kita bercakap atau berhujah mengikut perasaan semata-mata.

Rasulullah s.a.w bersabda,

‘‘Percakapan orang yang berakal muncul dari balik hati nuraninya. Maka ketika hendak berbicara, terlebih dahulu ia kembali pada nuraninya. Apabila ada manfaat baginya, dia harus bercakap dan apabila ia boleh mendatangkan keburukan,
maka dia hendaklah tidak melafazkannya. Sesungguhnya hati orang yang bodoh berada di mulut,
ia berbicara sesuai apa sahaja yang dia mahukan’'.

Seperkara lagi dalam kita berhujah atau mempertahankan sesuatu elakkan daripada memalsukan fakta apatah lagi membuat pujian yang bukan-bukan kepada seseorang ini.

Ia disebabkan pujian yang melampau itu adalah bencana lidah (min afat al lisan) yang sangat berbahaya.

Dalam buku Ihya 'Ulum al-Din, Imam Ghazali menyatakan enam bahaya (keburukan) yang mungkin timbul daripada budaya memuji tersebut iaitu empat keburukan kembali kepada orang yang memberikan pujian dan dua keburukan lainnya kembali kepada orang yang dipuji.

Bagi pihak yang memuji, keburukan yang akan diperoleh ialah melakukan pujian secara berlebihan sehingga menjerumus ke dalam dusta, dia memuji dengan berpura-pura menunjukkan rasa cinta dan simpati yang tinggi sedangkan dalam hatinya adalah sebaliknya, ia menyatakan sesuatu yang tidak disokong oleh fakta sebaliknya pembohongan semata-mata dan dia telah menggembirakan orang yang dipuji padahal orang itu melakukan
kesalahan.



Bangga

Dua keburukan yang menanti orang yang dipuji pula ialah dia akan merasa sombong (kibr) dan bangga diri (ujub) - kedua-dua adalah penyakit yang boleh ‘mematikan’ hati seseorang dan keburukan kedua, orang yang dipuji akan merasa hebat, tidak perlu bersusah payah dan bekerja kuat.

Kesimpulannya, dalam apa juga yang kita lakukan berkaitan dengan lidah yang melahirkan kata-kata kita harus berhati-hati, tidak kiralah sama ada ia teguran, pujian, kenyataan atau berhujah.

Ini kerana setiap apa yang diperkatakan akan diperhitungkan di akhirat kelak apatah lagi jika ia berkaitan dengan soal kebenaran dan kebatilan.

Justeru jadikanlah firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 104 dan 105 sebagai pegangan, maksudnya;

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang mengajak kepada kebajikan dan menyuruh kepada makruf dan mencegah dari kemungkaran dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.

“Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka dan mereka itulah orang-orang yang akan mendapat azab yang berat.”

Sumber : My Ahda

Tuesday, July 27, 2010

Mahasiswa juga wajar dibenar berpolitik: Saifuddin

2010/07/28

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata sudah tiba masanya untuk kerajaan mempertimbangkan pembabitan mahasiswa dalam politik.

Saifuddin berkata, beliau akan mencadangkan perkara itu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO akan datang.

"Jika sekarang guru siswazah DG41 hingga DG48 dibenarkan berpolitik, mengapa tidak kita memberi peluang yang sama untuk mahasiswa berbuat demikian," katanya di sini, sebentar tadi.

Sumber : Berita Harian

Guru boleh aktif politik


Oleh Haspaizi Mohd Zain

2010/07/28

CUEPACS mahu semua pegawai dapat peluang sama

KUALA LUMPUR: Selepas 17 tahun dilarang aktif dalam politik, pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah Gred DG41 hingga DG48 dibenarkan semula bertanding, dilantik atau memegang sebarang jawatan dalam parti politik, berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Keputusan itu yang diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, semalam, membabitkan 140,000 guru. Bagaimanapun, CUEPACS berharap kebenaran itu turut diperluaskan kepada semua 350,000 pegawai Gred DG41 hingga DG48 dan tidak terhad untuk guru saja.

Presidennya, Omar Osman, berkata semua pegawai awam harus diberi peluang sama selari dengan hasrat kerajaan yang mahu kakitangannya turun padang dan mendekati rakyat.

Mereka juga tidak kurang hebatnya, termasuk mempunyai kelulusan tinggi dalam bidang sains politik, katanya mengulas keputusan kerajaan meminda Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 bagi membolehkan pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah Gred DG41 hingga DG48 aktif semula dalam politik.

Pindaan itu sudah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan tindakan sedang diambil untuk mewartakannya.
Ketika ini, hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.

Mohd Sidek dalam kenyataannya menjelaskan sudah tiba masa guru dibenarkan aktif semula dalam politik kerana golongan itu suatu masa dulu memainkan peranan penting dalam memimpin masyarakat, terutama dalam senario politik negara.

Sambil menyifatkan keputusan itu sebagai satu langkah pembaharuan dalam perkhidmatan awam, beliau bagaimanapun menegaskan kebenaran berkenaan diberi dengan syarat ketat agar tugas dan fokus utama guru mendidik anak-anak tidak terjejas dengan pembabitan dalam politik.

Beliau berkata, mereka hanya dibenarkan bergiat aktif dalam politik selepas mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran tidak boleh mewakilkan kuasanya untuk memberi kelulusan bertulis itu kepada mana-mana orang lain dan keputusan beliau adalah muktamad, katanya.

Mohd Sidek juga mengingatkan mereka supaya mematuhi syarat berkaitan dengan batasan tugas sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan dengan aktiviti dalam politik.

Syarat mengenai perkara ini sedang disediakan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pelajaran, katanya.

Sumber : Berita Harian